Monday 27 August 2012

PROTON MEMBENTANGKAN PELAN BARU PERNIAGAAN LOTUS GROUP


 
Kuala Lumpur: PROTON Holdings Bhd akan melaksanakan pelan perniagaan baru yang lebih praktikal bagi membolehkan anak syarikat milik penuhnya, Group Lotus plc (Lotus) kembali meraih keuntungan dalam tempoh terdekat.
Pelan itu antara lain membabitkan kaedah pengurusan kos, sistem pembangunan dan penghantaran produk yang lebih sistematik dan suntikan pelaburan tambahan sehingga £100 juta (kira-kira RM500 juta) bagi pembangunan kereta.
Turut termasuk dalam strategi itu ialah semakan semula kaedah pengenalan barisan model baru bagi memastikan setiap sen pelaburan yang dibuat mampu memberikan pulangan.
Pelan baru itu perlu dilaksanakan terutama dengan mengambil kira komitmen kewangan yang sudah dibuat Proton untuk Lotus sebelum ini termasuk pinjaman bersindiket £270 juta (RM1.33 bilion) hujung 2010.
Semua itu adalah langkah drastik diambil pemilik baru pengeluar kereta nasional itu, DRB-Hicom Bhd selepas pelaksanaan pelan transformasi lima tahun Lotus di bawah pengurusan lama gagal dilaksanakan.
Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, berkata walaupun kumpulan komited untuk melaksanakan transformasi Lotus sehingga pulih daripada kerugian, pihaknya tidak boleh memandang ringan dengan setiap sen yang dibelanjakan.


“Sebagai pemilik baru PROTON Holdings dan Lotus, DRB-Hicom amat komited memastikan pengeluar kereta sport mewah British ini mampu mencatatkan prestasi kewangan yang positif dan seterusnya pulih daripada kerugian.
“Justeru, kumpulan akan melaksanakan pelan baru yang boleh diguna pakai, praktikal dan konsisten untuk Lotus kerana pelan transformasi perniagaannya sebelum ini telah gagal.
“Ini diakui sendiri pengurusan sebelum kami melengkapkan pembelian PROTON Holdings,” katanya pada taklimat selepas lawatan media Malaysia ke Ibu Pejabat Group Lotus di Norwich, United Kingdom, baru-baru ini.
sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment